Current song:

Laluan Ke Final Masih Terbuka

NORSHAHRUL (kanan) memiliki sentuhan yang cukup berbisa.
PELUANG melangkah ke final masih terbuka buat Harimau Malaya biarpun sekadar melakar keputusan seri 1-1 ketika menentang Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal memberitahu, beliau tetap berpuas hati dengan corak yang ditampilkan anak-anak buahnya meskipun menyifatkan kemenangan sepatutnya berjaya diraih oleh skuad negara ketika menentang juara Kumpulan A itu.

"Saya berpendapat, perlawanan malam ini (kelmarin) adalah satu perlawanan menarik yang ditunjukkan oleh anak-anak buah saya. "Jika dilihat secara keseluruhannya, kami berhak untuk menang pada aksi tersebut dengan jumlah minimum sekurang-kurang 3-1.

"Saya tidak boleh minta lebih daripada pemain-pemain saya memandangkan kami memulakan kejohanan ini tanpa beberapa tonggak utama yang ditimpa masalah kecederaan. "Peluang (untuk mara ke final) masih ada dan kami perlu menempuhi perlawanan kedua nanti dengan penuh keyakinan.

"Saya juga fikir barisan pemain ini telah mempamerkan persembahan terbaik serta bertenaga dan saya bangga dengan mereka pada aksi tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Tambah jurulatih berusia 56 tahun itu, beliau menyedari laluan sukar menanti Harimau Malaya menjelang aksi kedua Khamis ini.

"Saya tahu perlawanan kedua di Thailand bakal menjadi laluan sukar buat kami tetapi saya tetap optimis dengan skuad kendalian saya.

"Kami tiada pilihan lain dan kami akan bertandang ke sana dengan membuat aksi yang lebih baik berbanding perlawanan separuh akhir pertama," katanya.


Sumber Dari Kosmo!
Artikel Di Siarkan Pada : 11/12/2012

Suara

Suara

Suara
Suara