Current song:

Langkah Nad Zainal


Disebabkan terlalu memfokus kepada isu sensasi dan kontroversi, barangkali segelintir penggemar hiburan terlepas pandang kehadiran gadis kecil molek bernama komersial, Nad Zainal ini.

Anak tunggal kelahiran Kajang, Selangor ini menerobos ruang industri hiburan menyandar kepada kekuatan bakat, tanpa sesekali bergantung isu kontroversi.

Bakatnya mula diuji pada 2007 menerusi drama berantai Sunsilk Impian namun perjalanan pemilik nama lengkap, Farah Nadia Zainal Abidin ini tidak selancar pelakon lain.

“Saya serius tetapi tidak terlalu fokus kerana masih terikat dengan pelajaran.

Cuma sesekali saya menerima tawaran, mungkin kerana itu nama agak lambat menyerlah.

“Selepas menamatkan pelajaran dalam Diploma Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), saya kembali mencari peluang.

“Alhamdulillah, kolaborasi semula bersama Red Communication berhasil apabila lakonan saya dalam Memberku Hawa mula memancing penonton,” katanya.
Bertapak dari situ, nama Nad meluncur laju apabila persembahannya dalam drama berantai, Bukan Bidadari menerima pujian ramai.

Ketika ini, drama terbarunya, Putera Rayyan sedang dimainkan di TV3 disusuli filem, Kami Histeria yang akan menjengah pasaran tahun depan.

“Saya mungkin sedikit bertuah kerana dipertemukan dengan mereka yang sudi membimbing untuk menjadi yang terbaik.

“Tidak mudah memperoleh kepercayaan itu. Disebabkan itu, saya tidak terlalu memilih sama ada watak utama atau pembantu.

“Tidak dinafikan perjalanan saya sedikit perlahan tetapi saya bersyukur kerana tawaran tidak putus.

Saya tidak menyesali takdir, meskipun pernah dulu tidak dipandang stesen komersial,” katanya.

Pernah menghiasi drama seperti Bloggerboy 2, Apa Dosaku: Sybil Kathigasu, Inikah Cinta, Qolbu, Papaku Nak Kahwin dan Incredible Tales, Nad berkata, sedari awal dia memang serius menekuni dunia lakonan.

Bagaimanapun, peluang yang dinanti belum menyebelahinya namun minat dan kecintaannya tidak mati di situ.

“Saya cuba bertahan, malah pernah berkata kepada diri, jika gagal sebagai pelakon saya sanggup bekerja di balik tabir.

“Saya banyak belajar mereka yang terlebih dulu makan garam dalam industri hiburan. Saya bukan seorang yang demanding, andai berpatutan dengan tawaran dan watak diberikan saya tidak akan menolak,” katanya.

Selesa berunding sendiri setiap tawaran yang datang, Nad menjelaskan, sehingga ini dia belum berasa berlaku penindasan terutama dari segi bayaran.

Meskipun masih hijau namun Nad tidak membiarkan dirinya menjadi mangsa produksi yang cuba mengambil kesempatan.

“Saya seorang yang suka mencuba tetapi pada masa sama, saya memberi pilihan kepada penerbit mengenai bayaran.

“Alhamdulillah setakat ini semua berjalan baik. Bimbang juga perkara buruk berlaku tetapi setakat ini, semua pihak menerima jumlah yang saya kemukakan.

“Sebagai orang baru, saya tidak mahu kerana masalah seperti ini nama saya buruk dan pelbagai label menyusul.

Lebih baik saya telus,” katanya.


Berita Dipetik dari Berita Harian
Bertarikh 02/12/2012

Suara

Suara

Suara
Suara