Current song:

Memori Krismas Megan, Ryan

Megan & Ryan
PENGACARA rancangan Quickie di 8TV, Megan Tan dan Ryan Matjeraie ternyata mempunyai definisi yang sama tentang sambutan Krismas.

Dua selebriti ini menganggap Krismas sebagai hari cuti yang mana ia memberi peluang kepada mereka untuk berkumpul bersama keluarga serta bertemu dengan teman-teman yang sudah lama tidak bertemu.

Baik Megan, 24, mahupun Ryan, 27, kedua-duanya mempunyai memori nakal, gembira dan sedih sambutan Krismas yang masih terpahat kukuh sehingga ke hari ini. Megan dan Ryan juga teruja berkongsi cerita mengenai sambutan Krismas mereka pada tahun ini.

Hadiah stoking Ryan

Berbual dengan Ryan, jejaka kacukan Irish, Cina dan Iban ini ternyata mengubah persepsi awal mengatakan dia sombong. Seorang yang mudah mesra, Ryan juga mempunyai sisi kelakar yang membuatkan perkenalan baharu menjadi seperti sudah bertahun lamanya.

Lahir di Ireland dan kemudiannya membesar di Sarawak, luah Ryan, tahun ini dia tidak dapat cuti Krismas disebabkan tuntutan kerja namun tidak bermakna dia tidak menyambutnya. "Saya kerja pada hari Krismas. Saya tidak dapat cuti, tetapi saya tetap menyambutnya bersama keluarga di Kuala Lumpur selepas habis bekerja," ujarnya.

Berada di Australia selama lapan tahun tanpa keluarga membuatkan Ryan sedar akan kenikmatan sambutan raya bersama keluarga. Ceritanya, walaupun menyambut Krismas bersama teman-teman ketika belajar di Australia ia tetap disambut dengan meriah.

"Sambut Krismas bersama keluarga dan teman-teman adalah sangat berbeza. Jika bersama teman-teman, kami hanya makan di luar atau mengadakan barbeku, sebaliknya Krismas bersama keluarga, kami akan makan bersama dan bertukar hadiah.

"Namun, walaupun di mana saya berada dan dengan siapa saya menyambut Krismas, saya akan pastikan ia sangat istimewa buat saya," ungkapnya.

Sebagai seorang anak lelaki, Ryan mengakui, tidak pernah membantu ibunya menghias pokok Krismas.

Jujur, kata Ryan, pokok pain itu bukan akan menjadi cantik sebaliknya akan musnah di tangannya.

"Saya memang tidak pandai hias pokok Krismas. Sebelum pokok itu dimusnahkan oleh saya, baik ia dihias oleh ibu. Biasanya ibu yang menghias pokok Krismas kami setiap tahun," jelas anak kedua daripada tiga beradik itu.

Mempunyai keluarga besar yang setengah daripadanya tinggal di Ireland dan Sarawak, tutur Ryan, hanya beberapa kali dia dan sanak saudara dapat berkumpul dan selebihnya dia hanya merayakan Krismas bersama keluarga.

Tidak mengingati perayaan Krismas pada tahun bilakah ia berlaku, dedah Ryan, dia pernah menghadiahkan saudaranya sepasang stoking,

"Tidak hanya memberi hadiah di dalam kotak, hadiah Krismas juga boleh diberi dengan meletakkannya di dalam stoking. Saya pernah meletakkan beberapa helai stoking di dalam stoking besar yang tergantung untuk dihadiahkan kepada saudara saya," jelasnya sambil ketawa apabila teringat perbuatan nakalnya terhadap saudaranya itu.

Ditebak soalan sama ada dia pernah percaya dengan kewujudan Santa Claus, dedah Ryan, dia pernah percaya akan kewujudan lelaki bertubuh besar dan mempunyai janggut putih yang panjang dengan memakai pakaian berwarna merah itu ketika dia masih kecil.

"Kenapa saya percaya Santa itu wujud ketika itu, sebabnya ketika bangun pagi saya lihat susu dan biskut yang diletakkan ibu pada waktu malam sudah habis diminum dan dimakan Santa.

"Malah, terdapat satu nota dengan ucapan 'terima kasih Ryan, daripada Santa Claus', yang sebenarnya ia adalah perbuatan ibu saya!," katanya yang mengakui ketika kecil dia merupakan kanak-kanak yang suka memberontak.

Berkongsi momen Krismasnya lagi, semasa umur enam tahun, dia pernah menyatakan hasrat kepada neneknya untuk memiliki baju adi wira Batman tetapi neneknya mengatakan tidak. Akibatnya, Ryan memberontak dan menangis sepanjang hari.

"Sebenarnya nenek sudah beli dan akhirnya membuat kejutan dengan memberi baju Batman itu kepada saya ketika Krismas. Saya sangat gembira dan berharap kalau boleh mempunyai baju Batman untuk Krismas tahun ini pula," ceritanya lagi.

MEGAN dan Ryan masing-masing mempunyai kisah menarik tentang sambutan Krismas mereka.

Boxing Day bersama teman

Bagi Megan, walaupun tidak menyambut perayaan Krismas tetapi dia tetap meraikannya bersama teman-teman pada setiap tahun.

Begitupun, sambutan Krismas wanita beragama Buddha itu bersama teman-teman bukan pada 25 Disember sebaliknya pada 26 Disember.

"Pada 26 Disember itu bukan lagi digelar hari Krismas sebaliknya ia digelar hari Boxing Day. Masa itulah semua orang membuka hadiah yang mereka dapat ketika Krismas. Sebab itu hari itu digelar Boxing Day.

"Saya mempunyai ramai kawan yang menyambut Krismas. Jadi, setiap tahun mereka akan adakan pesta atau potluck. Masa itulah saya dan teman-teman dapat berkumpul dan saling bertukar hadiah.

"Biasanya kami buat 26 Disember kerana pada hari Krismas masing-masing menyambutnya bersama keluarga," jelasnya mengenai aktiviti yang dilakukannya sejak berusia 16 tahun lagi.

Tidak hanya makan dan bertukar hadiah, menurut Megan, pertemuan semula bersama teman-temannya itu turut disertai dengan pelbagai permainan yang diatur seperti charades dan taboo.

Berkongsi pengalaman pahitnya menyambut Krismas, luah Megan, dia belum lagi merasai pengalaman bermain salji ketika bercuti di luar negara.

Begitupun, bagi Megan, kebanyakan memori Krismas yang dilaluinya bersama teman-teman adalah menyeronokkan.

Ujarnya, ketika itu dia dapat bertemu semula teman-teman yang sudah lama terpisah sama ada sejak di bangku sekolah mahupun di universiti.

Mengulas mengenai pengalamannya menyambut Krismas bersama teman-teman, jelas Megan, setiap tahun dia pasti mengambil bahagian menghias pokok Krismas teman-teman beragama Kristiannya malah dia berharap suatu hari nanti dapat menghiasi pokok Krismas sendiri dan meletakkannya di dalam rumahnya.

Ditanya mengenai makanan ketika sambutan hari Krismas yang paling disukainya, kata Megan, dia suka makan ayam belanda panggang, tetapi ia sukar diperoleh dan kebanyakan teman-temannya akan menghidangkan ayam panggang di rumah mereka.


Sumber Dari Kosmo!
Disiarkan Pada : 25/12/2012

Suara

Suara

Suara
Suara