Current song:

Percaya Magis Rajagobal

Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak (kanan)
KEYAKINAN pemain nyata masih menebal dengan kemampuan Datuk K Rajagobal untuk terus memimpin skuad Harimau Malaya bagi misi lebih getir di pusingan kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari.

Biarpun kemampuan Rajagobal, 56, kini dipertikaikan ramai pihak berikutan kegagalan mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 baru-baru ini, tonggak pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak tetap percaya pengendali skuad kebangsaan itu masih memiliki sentuhan magis.

“Tidak seharusnya kegagalan di Piala AFF diletakkan di bahu jurulatih semata-mata, sebaliknya pemain yang beraksi di atas padang juga seharusnya memikul kegagalan ini bersama-sama.

“Soal pemilihan jurulatih terletak di tangan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tapi saya tetap yakin dengan kemampuan Datuk K Rajagobal untuk terus membimbing skuad kebangsaan. Saya juga yakin pemain lain juga sependapat dengan saya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kedudukan Rajagobal hebat dibincangkan sebelum ini apabila ada pihak menggesa agar kerusi panas itu dikosongkan untuk diserahkan kepada individu lain termasuk calon pilihan, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.

Semuanya gara-gara kemerosotan prestasi skuad kebangsaan termasuk terkandas di peringkat separuh akhir Piala AFF di tangan Thailand menerusi agregat 3-1.

Namun jurulatih yang membimbing Harimau Malaya memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Piala AFF 2010 di Jakarta itu terus mendapat mandat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah untuk meneruskan kontraknya sehingga Disember tahun depan.

Aidil, 25, yang kini menjalani latihan bersama pasukan baru, Johor Darul Takzim berkata, semua pemain sedar bahawa mereka perlu bersaing untuk merebut semula tempat dalam skuad kebangsaan memandangkan Rajagobal menyatakan akan melakukan rombakan pemain bagi kempen kelayakan Piala Asia menentang Qatar, pada 6 Februari.

“Setiap kejohanan dan perlawanan, jurulatih akan membuat penilaian semula dengan prestasi semasa pemain dan bagi saya sendiri, saya akan memberikan komitmen terbaik dengan pasukan Johor bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan,” katanya yang membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara Liga Perdana musim lalu.

Ketika ditanya mengenai peluang Malaysia untuk merebut dua slot pasukan terbaik Kumpulan D bagi melayakkan diri ke Piala Asia 2015 di Australia, Aidil tetap optimis skuad kebangsaan mampu memberi tentangan kepada tiga wakil dari negara Teluk, Qatar, Bahrain dan Yaman.

“Ketiga-tiga pasukan ibarat gergasi Asia. Memang di atas kertas tampak sukar, tapi selagi kejohanan belum bermula kita tidak boleh menyerah kalah. Jika kita berusaha, apa saja boleh berlaku,” kata Aidil.


Sumber Dari Metro
Disiarkan Pada : 25/12/2012

Suara

Suara

Suara
Suara