Current song:

Nely tidak pernah cemburu


KEMUNCULANNYA dalam bidang lakonan sudah mencecah lima tahun, namun Nelydia Senrose, 18, masih cuba membina nama untuk menjadi pelakon angkatan baru yang berjaya.

Dia boleh dianggap bertuah kerana mula berlakon pada usia 13 tahun menerusi drama Spa Q namun selepas itu namanya agak tenggelam berbanding rakan seangkatannya, Elfira Loy yang semakin popular dan menjadi perhatian ramai.

Mengakui populariti Elfira jauh lebih menonjol berbanding dirinya, pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen ini bagaimanapun tidak pernah cemburu kerana menganggap semua itu rezeki Tuhan.

Katanya, apa yang pasti dia semakin selesa. Apatah lagi, ujarnya kini fokus utama adalah pada pelajaran yang menjadi jaminan masa depannya nanti.
“Saya hanya berlakon ketika cuti semester saja kerana apabila sesi pembelajaran sudah bermula, jadual memang padat.
Setiap hari masa saya dihabiskan di kolej dengan menghadiri kuliah dan mengadakan perbincangan bersama rakan. Jadi, memang tiada masa untuk saya memikirkan soal menerima tawaran berlakon.

“Ditambah lagi, segala urusan berkaitan tawaran berlakon saya yang uruskan sendiri. Justeru, jika ada penerbit yang menghubungi ketika saya sibuk dengan pelajaran, memang ditolak terus kerana kesukaran memberikan komitmen.

Pada saya, tidak eloklah menyusahkan orang kerana berlakon adalah kerja berpasukan.
“Jadi, daripada timbul banyak masalah ketika penggambaran nanti maka lebih baiklah saya menolaknya dan penerbit pun boleh mencari pelakon lain yang sesuai. Dalam soal ini, saya memandang positif.

Kalau bukan rezeki saya, lepaskan saja dan tak perlulah bersikap tamak yang akhirnya akan menyusahkan produksi,” katanya.

Mesra dengan panggilan Nely, anak saudara kepada pelakon dan produser Rosnah Mohd Noor ini juga memaklumkan dia mengambil jurusan psikologi di Kolej SEGi Subang Jaya dan kini di semester tiga. 


Malah, jika tiada aral Nely bercadang mahu melanjutkan pengajiannya ke Australia pada tahun depan dan dia perlu rajin.

“Saya berlakon kerana minat saja dan tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk jaminan masa depan. Atas sebab itu, saya tekad belajar bersungguh-sungguh kerana mahu memperoleh kerja tetap suatu hari nanti.

Apatah lagi, industri hiburan ini sukar dijangka dan kemunculan artis baru pula sentiasa ada.

“Sampai masanya nanti, saya yakin akan ada artis pelapis yang mengganti tempat saya seka

rang ini. Oleh itu, saya harus ada perancangan lain untuk masa depan sendiri. Saya tak boleh terikat menjadi anak seni sampai bila-bila,” katanya tak kisah kurang popular berbanding dikenali ramai menerusi kontroversi semata-mata.

Menyentuh soal cerewet dalam pemilihan watak, Nely berkata, dia bukanlah seorang yang terlalu memilih.

Bagaimanapun, faktor wajahnya yang kelihatan agak matang membuatkan tidak semua watak sesuai untuknya. Malah tanpa berselindung dia mengakui sering terkandas dalam uji bakat untuk watak pelajar sekolah.

Katanya watak remaja berusia 17 tahun ke bawah seolah-olah tidak sesuai untuknya. Maka kalau ada tawaran berlakon pasti watak diberikan kepada Nely, melebihi usia sebenarnya.

Lebih mengejutkan, dia pernah mendapat tawaran untuk berlakon watak wanita ibu yang sudah mempunyai anak. Itu disifatkan Nely sebagai amat tidak sesuai untuk diterimanya.

Ditemui pada majlis ramah mesra dan sidang media drama terbaru lakonannya, Setia Hujung Nyawa terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd milik pelakon Rosyam Nor yang diadaptasikan daripada novel popular itu, Nely berkata dia gembira mendapat peluang untuk watak utama Ersalina, seorang gadis lepasan sekolah.

“Dalam drama ini, saya menjadi Ersalina yang baru habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia naif tetapi mengandung anak luar nikah. Akibat terlanjur dengan bekas kekasihnya, Ersalina yang tak sedar dia mengandung akhirnya dikahwinkan dengan Zain Hakimi, lelaki berusia 26 tahun dan seorang tokoh korporat.

“Berkahwin pada usia muda dan tanpa cinta memang sukar bagi Ersalina pada mulanya. Namun keikhlasan Zain Hakimi akhirnya membuatkan mereka saling jatuh cinta.

Pun begitu, Ersalina tiba-tiba keguguran lalu membuatkan segala rahsia terbongkar. Zain Hakimi yang menyayangi Ersalina mula berasa tertipu,” katanya.

Bagaimanakah kisah keseluruhannya, Nely berkata penonton perlu menyaksikan drama 24 episod yang mengisi slot Akasia di TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam mulai 24 Disember ini.

Selain Nely, barisan pelakon lain seperti Amar Ashraf sebagai Zain Hakimi, Zila Bakarin (Datin Adibah) dan kemunculan semula, Raja Ema (Puan Haliza).

Diarahkan Amie Maziah dan pertama kali Nely digandingkan dengan Amar Ashraf, katanya Amar seorang pelakon yang profesional dan senang berbincang. Ujar Nely lagi, dia selesa kerana Amar mudah memberikan kerjasama.

Mengakui masih solo dan tidak terikat dengan ‘cinta’, Nely berkata buat masa ini juga dia selesa tidak memiliki seseorang yang istimewa di dalam hatinya. Ujarnya, sekarang dia berasakan lebih sesuai berkawan saja sebelum berjaya dalam pelajarannya.

Pun begitu, tidak menolak berkahwin pada usia muda, Nely menjelaskan dia seboleh-bolehnya mahu berjaya dalam pelajaran lebih dulu sebelum memikirkan soal untuk berumah tangga.

Apapun, sedar soal jodoh ketentuan Tuhan, dia hanya mampu berharap semoga semuanya tidak terlalu awal dan dia berjaya mengejar cita-citanya termasuk dalam bidang pengajian.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17
Suara

Suara

Suara
Suara