Current song:

Chong Wei Hampiri Gelaran Sulung

Datuk Lee Chong Wei
PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei semakin hampir untuk merangkul gelaran pertama pada Siri Super Premier tahun ini selepas mengesahkan slot ke final pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2013 semalam.

Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menundukkan pencabarnya dari Hong Kong, Wong Wi King 21-11, 21-18 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Seoul itu. Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, Chong Wei beraksi dengan tenang ketika dia menewaskan pemain yang berada di ranking ke-25 dunia itu.

“Chong Wei bermain dengan sangat bagus hari ini (semalam). Saya juga dapat lihat dia begitu yakin ketika berhadapan dengan Wi King. “Chong Wei juga tidak menunjukkan sebarang tekanan pada aksi separuh akhir ini,” kata Seu Bock.

Begitupun, Seu Bock percaya Chong Wei bakal berdepan tugas yang sukar pada aksi akhir apabila anak didiknya dijadualkan bertemu pemain China, Du Pengyu. Pengyu turut mara selepas dia menewaskan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia 21-12, 21-17 dalam satu lagi pertarungan separuh akhir.

Meskipun Seu Bock percaya Chong Wei mempunyai peluang yang lebih baik untuk meraih kemenangan hari ini tetapi beliau berharap pemain pilihan pertama kejohanan itu tidak hilang tumpuan ketika menghadapi Pengyu.

“Saya berharap dia dapat balas balik kekalahan kepada Pengyu pada Siri Super Akhir 2012 bulan lalu tetapi saya juga dapat merasakan perlawanan akhir tidak akan menjadi sebegitu mudah kerana Pengyu turut mempamerkan peningkatan.

“Begitupun, Chong Wei harus kekal fokus. Peluang untuk menang memang tinggi tetapi dia juga harus berwaspada dengan Pengyu,” jelas Seu Bock.

Dalam perkembangan lain, impian beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk mara ke peringkat akhir tidak kesampaian selepas mereka ditunjukkan jalan keluar semalam.

Kien Keat-Boon Heong tewas 17-21, 11-21 kepada gandingan tuan rumah, Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae pada aksi separuh akhir dalam tempoh 44 minit.

Kekalahan itu, sekali lagi menyaksikan beregu kedua dunia itu gagal mengatasi pasangan yang pernah menewaskan mereka pada aksi suku akhir Terbuka Perancis 2012, Oktober lalu.

Ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her berkata, rentak permainan Kien Keat-Boon Heong yang tidak agresif telah menyebabkan mereka mudah ditumpaskan beregu ke-10 dunia itu.

“Prestasi masing-masing memuaskan. Mereka sepatutnya lebih berhati-hati ketika berdepan dengan gandingan ini, Sung Hyun-Yong Dae.

“Taktik perlawanan yang digunakan hari ini sudah betul kerana mereka lebih menerapkan corak permainan silang sejak daripada set pertama lagi.

“Begitupun, mereka tidak agresif ketika keputusan sudah mencecah mata ke-15 . Corak permainan Sung Hyun-Yong Dae juga sudah semakin matang jika dibandingkan dengan tahun lalu,” ujar Kim Her.


Sumber Dari Kosmo!
Disiarkan Pada : 13/01/2013

Suara

Suara

Suara
Suara