Current song:

Eizlan Teruja Jadi Pengarah

Datuk Eizlan Yusoff
Walaupun ramai kemunculan pelakon baru, tetapi Datuk Eizlan Yusoff adalah antara pelakon senior yang masih lagi mendapat tempat di hati pengarah dan penerbit filem untuk diundang menghiasi skrin televisyen dan layar perak.

Melihat kepada profil seni yang dibina hampir dua dekad dalam industri seni ini menunjukkan kewibawaan beliau untuk terus berada dalam paksi industri seni wajar diberi pujian.

Karier Eizlan bermula menerusi filem Kad Cinta pada 1994, diikuti filem Lurah Dendam, Amelia, Panas, Raja Melewar, Perempuan Melayu Terakhir, Mendam Berahi, Black Maria, Pontianak Harum Sundal Malam, Cinta, Impak Maksima, Sepi, Senario The Movie; Episode 1, Pisau Cukur, Damping Malam, Ratu The Movie, Senjakala, Songlap, Gerimis Mengundang dan 8 Jam.

Dia pernah memenangi anugerah seperti Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Skrin TV3 pada 1997/98 menerusi filem Panas dan menggondol trofi Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia Ke14 atas tiket filem Perempuan Melayu Terakhir. Dalam usia 42 tahun, Eizlan kini mengembangkan lagi pengaruh seninya sebagai pengarah untuk drama 13 episod berjudul Lima Bujang.

“Kalau diikutkan sudah lama saya mengimpikan untuk duduk di kerusi pengarah tapi saya sendiri yang tidak pernah mengetengahkan diri untuk menjadi pengarah. Apabila diberi peluang ini tentunya saya sangat teruja melakukan kerja pengarahan.

Lagipun saya lebih suka mengambil langkah berhati-hati dan tidak mahu terlalu terburu-buru menjadi pengarah. Saya harus mempersiapkan diri dulu dengan ilmu pengarahan ditambah pengalaman di belakang tabir sebagai penolong pengarah dan penulis skrip.

Kepuasan tersendiri 

“Menjadi pengarah ada kepuasannya tersendiri, begitu juga sebagai pelakon. Kepuasan sebagai pengarah tentunya apabila hasilnya sudah siap dan mendapat maklum balas baik penonton, begitu juga pelakon mampu membawa karakter itu dengan baik berdasarkan apa kehendak pengarah dan seterusnya menjadikan naskhah itu yang terbaik,” katanya ketika ditemui B*POP, baru-baru ini.

Kata Eizlan lagi, sepanjang hampir 20 tahun berada dalam industri perfileman, boleh dikatakan hampir 99 peratus watak yang ada dalam lakonan sudah diterokainya, namun bukan tiket untuknya berasa selesa, sebaliknya masih perlu digilap dari masa ke semasa.

“Ini menyebabkan saya tidak pernah memilih watak sama ada peranan utama ataupun watak kecil. Paling penting adalah keberkesanan watak itu. Saya pernah menolak watak utama dan pilih watak lebih kecil kerana karakter itu nampak lebih berkesan. Lagipun dalam usia sekarang, saya sudah merasai pelbagai watak, jadi apa jua watak diterima dan mampu memberi impak tersendiri dan tidak bertembung dengan kerja lain, pasti saya terima,” katanya yang juga bergelar usahawan dalam bidang perniagaan arang batu.

Mempertahankan diri

Menerusi filem terbaru lakonannya, Balun yang turut dibintangi Beto Kusyairy, Izara Aishah dan Reen Rahim, Eizlan menyifatkan watak Shaid Blond dibawanya itu menarik kerana memerlukannya mempelajari teknik seni mempertahankan diri.

“Balun ialah filem pertama saya yang memerlukan saya mempelajari seni mempertahankan diri yang menjadi idaman saya sejak mula menceburi bidang lakonan. Ini jiwa lakonan yang saya cari sebelum ini. Saya perlu mempersiapkan diri sepenuhnya untuk mendapatkan stamina baik. Dalam filem aksi seperti ini kecederaan ringan adalah perkara biasa,” katanya yang dikurniakan dua cahaya mata Vee Zaara, 4, dan Zareef Yusof, 2, hasil perkongsian hidup dengan Vie Shantie Haroon Khan sejak 7 Julai 2007.


Sumber Dari Berita Harian
Disiarkan Pada : 13/01/2013

Suara

Suara

Suara
Suara