Current song:

Misi Lunas Dendam


KUALA LUMPUR - Kekecewaan kalah 2-3 kepada Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 masih menghantui ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar.

Bagaikan luka yang sukar diubati, tegas ketua pasukan ATM itu, dia tekad mahu melunaskan dendam apabila kedua-dua pasukan bertembung pada Perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tidak rela dikecewakan sekali lagi oleh The Red Warriors, pemain veteran yang bakal berusia 33 tahun itu mengakui tidak sabar bagi menghadapi perlawanan itu dan memulakan tahun 2013 dengan catatan kejayaan.

"Saya mahu membalas dendam kekalahan ATM kepada Kelantan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu, yang saya akui ia masih memberikan kesan mendalam kepada saya sehingga hari ini.

"Kami sebenarnya boleh mengalahkan Kelantan dalam perlawanan tersebut, sehingga mampu memaksa masa permainan berlanjutan ke masa tambahan tetapi rezeki bukan milik kami dan kami kalah dengan cara bermaruah.

"Walaupun mereka kehilangan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammad Ghaddar pada bahagian serangan, Kelantan masih merupakan sebuah pasukan yang kuat kerana dibarisi ramai pemain berkualiti tinggi.




"Jadi pentas ini ( Piala Sultan Ahmad Shah) akan menjadi medan terbaik buat saya mengubat kekecewaan lalu, " katanya ketika dihubungi, semalam.

ATM bagaimanapun berdepan tugas berat untuk menghadapi Kelantan kerana Marlon Alex James disahkan mengalami kecederaan betis dan terpaksa direhatkan untuk perlawanan Sabtu ini.

Namun, situasi itu tidak menggusarkan Hairuddin yang sedia menggalas tugas selaku penyerang utama jika diperlukan oleh jurulatih, B. Sathianathan.

"Biarpun saya kerap diletakkan lebih kerap pada bahagian tengah, itu tidak menjadi masalah besar kepada saya untuk bermain sebagai penyerang bagi menggantikan tempat Marlon pada perlawanan Sabtu ini.

"Saya ada pengalaman bermain sebagai penyerang atau pemain tengah dan berazam mahu memulakan tahun 2013 dengan kejayaan bagi kepada pasukan ATM, " katanya.

ATM juga berdepan masalah selepas ketiadaan Aidil Zafuan Adha, Zaquan Adha dan Azmi Muslim yang mengambil keputusan berhijrah ke Johor Darul Takzim FC dan hakikat itu turut dipersetujui oleh bekas pemain kebangsaan itu tetapi masih yakin ATM masih mampu mencabar.

"Kehilangan ketiga-tiga pemain itu memang dirasai dalam pasukan tetapi perjuangan ATM pada musim baru ini perlu diteruskan.

"Walau bagaimanapun kehadiran beberapa pemain baru seperti Shukor Adan dan R. Surendran mampu menampung kekurangan yang ditinggalkan oleh pemain-pemain berkenaan di samping kehadiran pemain-pemain muda.

"Saya yakin ATM mampu menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim ini dan itu juga menjadi sasaran peribadi saya bersama ATM, " katanya.



Sumber Dari Utusan
Disiarkan Pada : 03/01/2013



Suara

Suara

Suara
Suara