Current song:

Kayuhan TSG Serba Tak Menjadi

HARRIF masih belum mampu untuk mengubah kedudukan
TSG pada LTdL kali ini.
PASUKAN benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) serba tidak menjadi pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Selain gagal menduduki kelompok 10 terbaik dalam kedudukan keseluruhan pasukan, TSG turut ketinggalan di tempat kelapan daripada sepuluh pasukan Asia yang menyertai perlumbaan berstatus Hors ini.

Ketika ini, TSG sekadar menduduki tempat ke-19 keseluruhan selepas ketinggalan 59 minit 25 saat dibelakang pendahulu keseluruhan, MTN Qhubeka (88'44:34s).

Pada masa yang sama, pencapaian pelumba TSG juga tidak boleh dibanggakan.

Kedudukan terbaik pelumba TSG dalam pemburuan Jersi Kuning (Individu Keseluruhan) hadir menerusi Mohd. Saufi Mat Senan yang berada di tempat ke-37 diikuti Mohd. Saiful Anuar Aziz (ke-79), Mohd. Nor Umardi Rosdi (ke-82), Mohd. Hariff Salleh (ke-105) dan Mohd. Zamri Salleh (ke-108).

Barisan pelumba TSG yang diketuai Harrif juga masih belum mampu untuk menaiki podium, sekali gus memenangi peringkat meskipun berlumba di hadapan peminat dan negeri sendiri.

Pada perlumbaan peringkat kelapan dari Kuala Terengganu ke Tanah Merah, Kelantan sejauh 164.50km semalam, Harrif sekadar menduduki tempat ke-44 di belakang Mohd. Saufi (ke-14).

"Perlumbaan hari ini (semalam) sangat laju. Saya cuba beberapa kali untuk keluar daripada kelompok besar pelumba pada 30 kilometer pertama, tetapi tidak mampu bertahan lama.

"Selepas itu, saya kehabisan tenaga. Hari ini saya seperti tidak sedap badan. Sekiranya saya berada pada prestasi terbaik, saya mungkin menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.

"Perlumbaan hari ini (semalam) juga sedikit kelam kabut. Saufi berada di depan saya. Semua pelumba pecut memecut laju ke hadapan tetapi saya kehilangan tenaga," kata Harrif.

Ketika ditanya mengenai strategi untuk menghadapi baki dua perlumbaan terakhir, pelumba pecut negara itu berkata, dia sukar untuk membuat jangkaan.

"Saya pun tidak tahu nak cakap apa. Keputusan susah hendak dijangka tetapi saya akan melakukan yang terbaik. Saya akan berkerja keras," katanya.

Impian Harrif untuk menyarung Jersi Biru selaku Raja Pecut juga semakin samar selepas dia hanya mengumpul 41 mata untuk menduduki tempat keenam di belakang Andrea Guardini dari Astana Pro Cycling (84 mata) dan pelumba Vini Fantini-Selle Italia, Francesco Chicchi (60 mata).

(Sumber Dari KOSMO! 01/03/2013)
Suara

Suara

Suara
Suara