Current song:

Tidak Sangka Cepat Popular

Emma Maembong
NAMA pelakon Emma Maembong mula meniti di bibir peminat sewaktu muncul dalam drama bersiri arahan Erma Fatima iaitu Kau Yang Terindah pada pertengahan tahun lalu.

Biarpun pernah dikritik hebat, tidak dinafikan namanya semakin menjadi sebutan ramai dan dikatakan antara pelakon yang bakal memberikan saingan kepada pelakon sedia ada.

Apatah lagi namanya juga turut tercalon dalam kategori Artis Baru Popular untuk acara Anugerah Bintang Popular ke-26 yang akan berlangsung pada April ini.

Kosmo! yang berkesempatan menemui pelakon berkenaan di lokasi penggambaran drama 3 Nenek 3 Dara di Wangsa Walk, Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan dia sendiri tidak menyangka dengan populariti yang diraihnya sekarang.

“Sewaktu kali pertama berlakon dahulu saya selalu mendapat banyak kritikan penonton sehingga ada yang memberi gelaran pelakon 'kayu' serta menuduh saya sekadar bergantung kepada paras rupa semata-mata.

“Biarpun saya teruk dikritik hebat dan masih baru berlakon dua buah drama, tetapi saya bersyukur kerana kini semakin dikenali ramai dan menganggap populariti yang diraih ini sebagai satu rezeki,” ujarnya.

Menurut Emma, ketika mula-mula berkecimpung dalam dunia lakonan, menjadi seorang pelakon popular bukanlah menjadi keutamaan. Sebaliknya, dia mahu menyerlahkan lagi bakat seninya dengan peluang yang dimiliki.

“Sejujurnya saya menyasarkan dua atau tiga tahun untuk mencipta nama dan tidak jangka pula akan dikenali ramai dalam tempoh singkat. Namun begitu, apa yang diperoleh ini pastinya menjadi semangat dalam usaha mengembangkan lagi kerjaya seni,” luahnya.

Mengakui mutu lakonannya masih belum memuaskan, pelakon yang baru menjangkau usia 21 tahun itu menjelaskan dia bukanlah seorang individu yang tidak boleh menerima teguran.

Jelasnya, biarlah setiap teguran yang diberikan itu boleh dijadikan panduan dan iktibar kepadanya sebagai seorang pelakon baharu. Bukannya kritikan yang boleh memberikan tekanan kepada dirinya.

“Kalau diikutkan belum sampai setahun lagi saya bergelar pelakon, tetapi sudah pelbagai cerita mengenai diri saya yang diperkatakan. Ia termasuk cerita tentang masalah disiplin saya sehingga dikritik ramai.

“Sebagai pelakon baharu saya akui banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki. Jadi, saya berharap agar diberi peluang untuk terus bertahan dalam industri hiburan,” jelasnya.

Pada masa yang sama, pelakon itu tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pengarah hebat, Erma Fatima selaku individu yang telah bertanggungjawab memperkenalkannya dalam dunia lakonan.

“Dahulu apabila ramai yang mempertikaikan kemampuan saya sebagai pelakon, Kak Erma yang paling banyak memberikan sokongan dan nasihat serta tunjuk ajar untuk menjadi seorang pelakon yang bagus.

“Kak Erma pernah memberitahu kepada saya yang dia mahu buktikan kepada orang ramai bahawa dia tidak tersilap memilih saya sebagai pelakon. Kata-katanya itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik,” ujarnya.

PADA awal kemunculannya dalam dunia lakonan, Emma pernah dilabel sebagai pelakon 'kayu'.

Menurutnya, dia sangat gembira dan senang bekerja di bawah arahan Erma, meskipun pada mulanya dia menyangka pengarah berkenaan sangat garang kepada para pelakon sehingga dia takut sekiranya membuat sebarang kesalahan.

“Semasa mula-mula berlakon dalam drama Kau Yang Terindah, saya fikir mungkin itu drama terakhir lakonan saya. Namun begitu, lama-kelamaan saya semakin berasa seronok berlakon serta terhutang budi dengan Kak Erma,” ujarnya.

Galeri lukisan

Ketika ini sudah ramai yang mengetahui tentang status diri Emma Maembong yang merupakan anak kepada seorang pelukis terkenal di Malaysia iaitu Ismail Embong.

Oleh yang demikian, tidak menghairankan apabila darah seni bapanya itu turut mengalir dalam dirinya dan sememangnya pelakon itu mempunyai bakat besar menjadi seorang pelukis.

Biarpun kini dunianya lebih terarah kepada dunia lakonan dengan tawaran yang semakin banyak, Emma menyatakan dia sesekali tidak melupakan bidang lukisan.

“Sudah tentu saya mempunyai impian untuk meneruskan legasi ayah menjadi pelukis hebat. Namun begitu, saya masih lagi memerlukan tunjuk ajar daripada ayah untuk memperbaiki teknik lukisan.

“Biasanya kalau tidak terlibat dengan penggambaran drama saya lebih suka menghabiskan waktu di rumah dan melukis. Sekiranya berada di lokasi penggambaran pula, saya menggunakan waktu rehat untuk melukis sehingga buku skrip saya penuh dengan lukisan,” jelasnya.

Lebih meminati jenis lukisan animasi, Emma juga tidak menyembunyikan keinginannya untuk membuka sebuah galeri lukisan sendiri pada masa akan datang.

“Itu semua bergantung kepada hasil dan jumlah lukisan yang saya miliki nanti. Apa yang perlu saya lakukan sekarang ini adalah berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk menghasilkan lukisan yang bermutu sebelum dipamerkan kepada orang ramai,” ujarnya.

Putus cinta

Sebelum ini ramai yang telah mengetahui tentang diri Emma yang sudah mempunyai kekasih.

Menariknya, gambar Emma bersama kekasihnya yang dikenali sebagai Adli Zaim itu pernah tersiar di sebuah majalah hiburan.

BIARPUN kini semakin sibuk berlakon, Emma tetap mahu mengikut jejak langkah ayahnya menjadi seorang pelukis yang berjaya.

Namun begitu, pelakon itu akhirnya mengakui bahawa hubungannya dengan Adli kini sudah berakhir sejak awal Februari lalu.

“Memang saya dan Adli sekarang bukan lagi pasangan kekasih, namun itu tidak bermakna kami terus memutuskan hubungan.

“Buat masa ini kami masih lagi berkawan, malah saya tidak kisah kalau dia hendak keluar dengan sesiapa pun, begitu juga dengan saya yang bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa sebarang halangan,” ujarnya yang sudah tiga tahun menjalin hubungan istimewa dengan bekas kekasihnya itu.

Ditanya tentang punca perpisahan mereka berdua, Emma enggan mengulas panjang, sebaliknya menyatakan sudah tiada lagi keserasian antara mereka.

Menurutnya, pada masa ini dia mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada kerjaya lakonannya tanpa memikirkan soal teman lelaki.

“Apa yang boleh dikatakan hati saya sekarang masih belum boleh menerima kehadiran sebarang lelaki dalam hidup saya.

“Jadi, saya tidak mahu fikir langsung pasal cinta dan selesa dengan kehidupan sekarang,” ujarnya mengakhiri perbualan.

(Sumber Dari KOSMO! 20/02/2013)
Suara

Suara

Suara
Suara