Current song:

Majlis Penghormatan Kepada Mangsa Tsunami

Orang Ramai bertafakur seketika dalam majlis penghormatan
kepada mangsa tsunami di Tokyo semalam.
TOKYO 11 Mac - Jepun hari ini mengadakan majlis penghormatan kepada 19,000 mangsa yang terkorban dalam insiden gempa bumi dan tsunami dua tahun lalu.

Dalam upacara yang diadakan di sini, Maharaja Jepun, Akihito dan isterinya, Maharani Michiko serta beribu-ribu pengunjung yang hadir berdiam diri seketika bagi memberi penghormatan kepada mangsa.

Upacara itu diadakan pada pukul 2.46 petang, sempena mengingati kejadian gempa bumi dengan kekuatan 9.0 skala Richter yang menggegarkan timur laut Jepun dan mencetuskan ombak tsunami setinggi 30 meter pada 11 Mac 2011.

Ombak setinggi 13 meter turut membadai loji nuklear Fukushima sehingga menyebabkan tiga reaktor musnah dalam kejadian itu, menyaksikan bencana paling buruk melibatkan loji atom di dunia selepas kejadian Chernobyl pada 1986.

Dua tahun selepas kejadian berlaku, keadaan di kawasan yang terjejas teruk masih belum pulih sepenuhnya, dengan hampir 300,000 penduduk masih tinggal di dalam kediaman sementara.

"Kami berdiri di sini untuk memikirkan bagaimana kehidupan kami selepas ini," kata seorang penduduk, Sakari Minato, 49, yang masih tinggal dalam kediamannya yang rosak akibat tsunami.

Dia mendakwa kebanyakan penduduk di kawasan itu dipinggirkan.

"Di Tokyo, ekonomi bertambah baik namun kami di sini tidak menikmatinya," katanya, merujuk kepada keadaan ekonomi semasa yang semakin meningkat sejak Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengambil alih pentadbiran Disember lalu.

Sementara itu, beratus-ratus mangsa yang terselamat dalam bencana tsunami di Fukushima hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan Jepun dan syarikat Tokyo Electric Power Co (TEPCO) yang menguruskan loji nuklear tersebut.

Plaintif mendesak kedua-dua pihak membayar pampasan sebanyak AS$520 (RM1,600) sebulan sehingga kawasan mereka pulih sepenuhnya akibat masalah yang berpunca daripada insiden itu.

(Sumber Dari UTUSAN 12/03/2013)



Suara

Suara

Suara
Suara