Current song:

Sukar Cari Pasangan Hidup

WAN RAJA mengakui ibunya sendiri meragui 
naluri sebenar dirinya.
FILEM .... Dalam Botol terbitan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman yang dibintangi Arja Lee dan Wan Raja pernah mencetuskan kontroversi gara-gara memaparkan kisah mengenai kehidupan pasangan gay atau homoseksual.

Biarpun kurang mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan penonton, namun filem berkenaan telah menaikkan nama kedua-dua pelakon tersebut sehingga dikenali ramai.

Salah seorang pelakon utama filem itu iaitu Wan Raja yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Tanah Merah baru-baru ini mengakui masih lagi ramai yang mengenalinya sebagai Ghaus iaitu watak yang dibawakannya dalam ... Dalam Botol.

"Saya sangat berterima kasih kepada Raja Azmi yang telah memberikan saya peluang untuk berlakon dalam filem ... Dalam Botol. Walaupun diberikan watak yang agak berat, tetapi ia telah mencabar kemampuan diri saya sebagai pelakon.

"Pada masa yang sama ia turut melonjakkan nama saya sebagai pelakon kerana berani tampil dalam sebuah filem yang telah mencetuskan kontroversi sebelum ini," jelas pelakon yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Mengakui ia telah memberi impak terhadap kerjaya lakonannya, pelakon itu menjelaskan ia turut memberi kesan yang kurang baik terutamanya kehidupan peribadinya.

Menurut Wan Raja, sehingga kini dia seperti agak sukar untuk mencari pasangan hidup atau isteri gara-gara persepsi sesetengah pihak yang salah sangka mengenai dirinya yang sebenar.

"Pada usia yang sudah mencecah 35 tahun sudah tentu saya ingin berumah tangga, tetapi kebanyakan wanita yang saya kenali telah salah anggap dan menyangka saya memang seorang lelaki gay.

"Selain itu, ibu saya sendiri turut sangsi dengan naluri sebenar diri saya kerana masih lagi tidak berkahwin. Sedangkan saya ini sememangnya seorang lelaki normal. Saya cuma menjadi lelaki gay untuk filem tersebut sahaja," tegasnya.

Bagaimanapun, Wan Raja mengakui memiliki beberapa orang rakan dalam golongan lelaki gay, tetapi dia tidak kisah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira faktor jantina.

"Selama ini saya tidak pernah memilih untuk menjalinkan persahabatan dengan orang-orang tertentu sahaja. Walaupun saya ada rakan yang mengamalkan kehidupan homoseksual, tidak semestinya saya akan terikut-ikut dengan cara mereka," jelasnya.

WAN RAJA (belakang, dua dari kanan) bersama barisan karyawan drama bersiri Tanah Merah.

Ketika ditanya sama ada dia pernah menerima sebarang tawaran melakonkan watak lelaki gay untuk drama atau telefilem, pelakon itu mengakui ada mendapat tawaran yang sedemikian.

"Memang saya pernah ditawarkan watak yang hampir sama seperti filem ... Dalam Botol, namun saya telah menolaknya dengan cara baik. Saya bukanlah serik atau malu untuk melakonkannya, tetapi sebagai pelakon saya mahu mencuba pelbagai watak yang lain," ujarnya.

Tidak Merajuk

Setelah membuat kemunculan sulung menerusi filem ... Dalam Botol, ternyata kelibat Wan Raja di layar perak tidak lagi kelihatan dan dia lebih banyak tampil di kaca televisyen.

Menurutnya, dia bukanlah merajuk gara-gara filemnya itu gagal mendapat sambutan, sebaliknya ada beberapa tawaran berlakon filem yang terpaksa ditolaknya kerana pertindihan jadual.

"Selepas ... Dalam Botol saya ada membintangi dua buah filem iaitu Momok Jangan Cari Pasal dan Balun yang sehingga kini masih lagi belum ditayangkan di pawagam.

"Sebenarnya saya masih lagi mahu aktif berlakon filem terutamanya yang bergenre aksi. Namun begitu, biasanya tawaran yang diterima akan bertindih pula dengan jadual lakonan saya yang lain," jelasnya.

Ujar Wan Raja, setelah muncul dalam filem pertama lakonannya bersama Raja Azmi itu, kini dia akan membintangi filem kedua terbitan penerbit berkenaan yang berjudul Anak Ikan.

"Raja Azmi ada memberikan tawaran secara lisan kepada saya untuk berlakon dalam filemnya itu dan saya telah memberikan persetujuan. Rasanya saya tidak mampu menolak tawaran tersebut kerana terhutang budi dan telah menganggapnya seperti seorang kakak," ujarnya.

Mengenai projek terbaharunya pula, Wan Raja menjelaskan dia ada menerima beberapa lagi tawaran berlakon drama, namun tidak boleh menjelaskan butirannya lebih lanjut kerana masih lagi dalam proses perbincangan.

FIGURA ini bersetuju untuk sekali lagi berkolaborasi dengan penerbit kontroversi, Raja Azmi menerusi filem berjudul Anak Ikan.

Kurang Popular

Sudah berkecimpung dalam dunia lakonan sejak tahun 2009, namun Wan Raja seolah-olah kurang popular dan tenggelam dengan pelakon yang sedia ada serta jarang diberikan watak utama untuk drama atau telefilem.

Tidak menafikan berasa agak kecewa dengan keadaan tersebut, pelakon itu menyatakan dia terpaksa akur kerana kebanyakan stesen TV mahu menonjolkan pelakon yang lebih muda.

"Saya terpaksa menerima hakikat bahawa peluang untuk membawakan watak utama agak tipis dengan usia saya sekarang, tetapi itu tidak menghalang saya supaya terus aktif dalam dunia lakonan.

"Apabila saya diberi peluang oleh Khabir Bhatia untuk membintangi drama bersiri Tanah Merah, saya anggap ia satu penghormatan dan telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk drama ini," jelasnya yang kali pertama dapat memegang watak utama dalam sesebuah drama.

Dalam drama yang bakal disiarkan menerusi saluran ntv7 bermula pada 4 April ini, Wan Raja yang membawakan watak Ibrahim Iskandar turut bergandingan dengan beberapa pelakon lain seperti Norman Hakim (sebagai Amran), Aishah Hoo (Johanna), Nazeera Sardi (Maryam), Hakim Yazid (Shah), Mior Fareez (Hassan) dan Zara Zya (Hana).

Merupakan sebuah drama genre misteri, ia mengisahkan tentang seorang wartawan bernama Johanna yang ingin menyiasat tentang kematiah bapanya di sebuah lokasi peranginan iaitu Tanah Merah.

Sementara itu, Wan Raja memberitahu ada segelintir pihak yang menyatakan dirinya kurang popular berpunca daripada sikapnya yang tidak gemar menghadiri acara-acara hiburan sehingga dikatakan anti-sosial.

"Ada yang mencadangkan supaya saya perlu selalu hadir ke acara-acara hiburan yang dianjurkan, tetapi saya pula jenis yang tidak akan datang ke sesebuah acara tanpa diundang atau tidak melibatkan kerja saya," tegasnya.

(Sumber Dari KOSMO! 22/03/2013)
Suara

Suara

Suara
Suara