Current song:

Pemandu Teksi Ditemui Mati Ditikam


KUALA LUMPUR — Seorang pemandu teksi ditemui mati dengan kesan tikaman di perut dan kecederaan pada kepala di tanah perkuburan Kristian di Jalan Kuari, Taman Midah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata mayat lelaki warga tempatan itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 malam.

"Mangsa berusia lingkungan 40-an itu ditemui terbaring di tepi jalan di tanah perkuburan itu manakala teksinya dijumpai kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

"Saya percaya mangsa diarah memandu ke tanah perkuburan itu sebelum berlaku rompakan, pergelutan dan mangsa yang ditikam cuba melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata terdapat kesan darah di tempat duduk pemandu dan polis turut menemui dua bilah pisau pemotong sayur di lokasi kejadian iaitu satu dijumpai di dalam teksi dan satu lagi berhampiran mangsa.

"Dua bilah pisau itu diserahkan kepada pihak forensik yang akan memastikan sama ada ia ada hubungkait dengan kes itu,” kata Mohan, sambil menambah bahawa polis percaya lebih daripada seorang suspek terlibat dalam kes itu.
Suara

Suara

Suara
Suara