Current song:

Harimau Malaya digesa segera perbaiki rentak


“AKSI menentang Thailand (malam tadi) langsung tidak menggambarkan kita sebagai juara Piala AFF Suzuki.”

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah ketika diminta mengulas kekalahan 0-2 skuad Harimau Malaya kepada Thailand pada aksi persahabatana antarabangsa di Stadium Rajamangala, Bangkok malam tadi.

Thailand yang juga tuan rumah Piala AFF Suzuki 2012 bersama Malaysia dilihat menampilkan aksi lebih bertenaga sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Hasilnya, Thailand memperoleh dua gol menerusi jaringan Prayat Bunya pada minit ke-25 dan Arthit Sunthomphit (81).

Mengulas lanjut, Reduan menegaskan, sudah tiba masanya Harimau Malaya bangkit daripada lamunan jika berhasrat untuk mengekalkan kejuaraan yang diraih pada 2010.

Jelasnya, kepincangan bahagian tengah selain ketumpulan jentera serangan, menjadikan persembahan Harimau Malaya hambar ketika berdepan skuad negara Gajah Putih itu.



“Sepatutnya kita sudah kena panik. Tinggal beberapa minggu sahaja lagi (sebelum bermula Piala AFF Suzuki 2012) tetapi kita masih tidak menunjukkan kekuatan kita yang sebenar.

“Sejujurnya, kita juga masih belum melihat corak permainan yang begitu kemas. Mengambil contoh aksi dengan Thailand (malam tadi), bahagian tengah skuad negara bukan sahaja tidak kreatif tetapi mereka dilihat agak gelojoh.



“Berbanding dengan Thailand, gerakan mereka cukup tenang dan tersusun. Baik hantaran pendek satu dua atau hantaran jauh, mereka sudah tahu bagaimana hendak menyusun pergerakan.

“Sebaliknya, skuad negara pula masih mengamalkan corak yang sama dengan melakukan hantaran jauh yang mana pihak lawan sudah boleh baca,” kata Reduan kepada Kosmo! semalam.

Reduan yang juga bekas pemain Selangor turut menganggap barisan pemain negara masih tidak mencapai kualiti seperti yang diharapkan.

Katanya, anak-anak buah Rajagobal harus menampilkan corak permainan lebih menarik serta mempunyai fokus sebelum mencipta serangan.

“Bukan itu sahaja, kenapa tidak menggandingkan Badri (Mohd. Radzi) dengan Shakir (Shaari)? Bukankah mereka cukup serasi memandangkan sudah biasa beraksi bersama dalam satu pasukan (Kelantan)?

“Radzi telah mempamerkan persembahan cemerlang bersama Kelantan musim ini dan jelas membuktikan dia adalah pemain tengah yang cukup kreatif.

“Namun, itu sekadar pandangan saya dan selagi kita belum tunjuk siapa kesebelasan utama skuad negara, selagi itu kita tidak akan mencapai keputusan yang lebih memberangsangkan,” katanya.

Sabtu lalu, Harimau Malaya tumbang 0-1 kepada Vietnam di Hanoi dan anak-anak buah Rajagobal dijadualkan menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 November ini.

Harimau Malaya akan memulakan aksi Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2012 dengan menentang musuh tradisi, Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 25 November ini.


Sumber Kosmo
Diterbitkan Pada 9/11/2012 

Suara

Suara

Suara
Suara