Current song:

Air Naik 1.5m - Kuantan Tenggelam


KUANTAN: Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan beberapa jalan utama terutama di pusat bandar dilanda banjir sedalam 1.5 meter (m). Antara jalan ditenggelami air ialah Jalan Tun Ismail Satu, Jalan Beserah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Abd Aziz, Jalan Mahkota, Jalan Bukit Ubi, Jalan Air Putih dan Jalan Pasar.

Difahamkan, banjir kilat itu berlaku jam 11 pagi semalam menyebabkan banyak kenderaan terkandas di jalan raya selain beberapa premis perniagaan ditutup kerana dinaiki air. Walaupun daerah ini mula hujan sejak malam kelmarin, hujan lebat selama tiga jam bermula jam 8 pagi semalam menyebabkan berlaku banjir kilat.

Keadaan itu menyebabkan kebanyakan pemilik kenderaan panik dan menyelamatkan diri dengan meredah jalan yang ditenggelami air. Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Tun Ismail, di sini, mendapati 10 kenderaan terkandas dan orang ramai membantu mengalihkan kenderaan mereka.


Bagaimanapun, lima jam kemudian, air mula surut dan beberapa jalan boleh dilalui semua kenderaan.

Tinjauan juga mendapati beberapa taman perumahan iaitu di Taman LKNP, Bukit Setongkol, Taman Perumahan Transit Quarters, Taman Teratai dan Semambu turut ditenggelami air antara 0.1 meter hingga satu meter.

Keadaan itu menyebabkan penduduk mengalami kerugian apabila beberapa barang dan kelengkapan rumah tidak dapat diselamatkan berikutan kejadian tidak diduga itu.

TENGGELAM...keadaan bandar Kuantan yang dinaiki air, semalam.

Sementara itu, jurucakap pusat pemindahan banjir negeri berkata, seramai 787 mangsa banjir membabitkan 179 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan di sekitar daerah ini, Pekan dan Rompin.

Antara kampung terbabit di daerah ini adalah Kampung Galing, Taman Seri Kuantan, Kampung Cenderawasih, Kampung Tengah, Kampung Tanjung Lumpur dan beberapa buah kampung di sekitar Pandan.

Manakala mangsa di Pekan adalah di Kampung Sungai Miang serta Kampung Cenderawasih dan di Rompin adalah Kampung Perpat.

Mangsa ditempatkan sementara di pusat pemindahan di bandar ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Galing seramai 362 mangsa membabitkan 64 keluarga, SK Cenderawasih seramai 200 mangsa membabitkan 52 keluarga ,Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan seramai 93 mangsa membabitkan 41 keluarga dan Balai Raya Tanjung Lumpur seramai 21 mangsa membabitkan empat keluarga.

Manakala di Pekan pusat pemindahan adalah di SK Sinar Mutiara, Sungai Miang menempatkan 60 mangsa daripada 10 keluarga dan Masjid Kampung Perpat di Rompin menempatkan 51 mangsa membabitkan lapan keluarga.

Sebelum ini, sebanyak lapan laluan utama terpaksa ditutup dan dibuka semula selepas surut namun jalan di Jambatan Sungai Caru, Jalan Sungai Lembing, di sini, masih ditutup berikutan air naik sehingga ke paras 10 meter.


Sumber Dari Metro
Disiarkan Pada : 25/12/2012

Suara

Suara

Suara
Suara