Current song:

Kahwin Tidak Gugat Kerjaya


LAMA memburu bintang lepasan One In A Million (OIAM) musim pertama ini. Akhirnya kami dipertemukan dalam sebuah sesi fotografi yang dirancang khas bersama pemilik nama Suki Low di sebuah hotel yang terletak di jantung ibu kota Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Enam tahun bergelar penyanyi, Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee, 22, kelihatan lebih matang dan tegas meluahkan butir bicara.

Tidak dinafikan, pengalaman yang ditempuhi oleh si gadis genit yang memulakan kariernya pada usia 16 tahun itu telah banyak mendidik dirinya.

"Perjalanan karier saya merupakan satu proses. Biarpun ia tidak 'meletup' tetapi saya bersyukur masih dapat menyanyi sampai sekarang dan saya tidak akan pernah berhenti menyanyi," tegasnya tentang prinsip karier seninya.

Tidak pernah rasa tersisih biarpun dia merupakan seorang penyanyi berketurunan Cina, kata Suki, dia melihat perspektif kerjayanya lebih luas berbanding penyanyi tempatan yang lain.

"Platform nyanyian saya bermula dengan pasaran berganda iaitu muzik saya merangkumi kaum Melayu dan Cina sekali gus. Biar pada mulanya saya tidak dikenali ramai, yang penting saya kekal.

"Sepanjang membesar dalam masyarakat majmuk di Malaysia, saya tidak pernah rasa prejudis atau orang bukan kaum Cina menolak muzik saya.

"Hakikatnya, saya diterima ramai dan seni telah menyatu serta memperkenalkan saya kepada masyarakat yang lebih pelbagai," luah Suki.

Mengenai perancangan masa depannya, dia mahu mengeluarkan album berbahasa Melayu dan Mandarin namun, fokusnya kini lebih kepada menyiapkan album pertama berbahasa Melayu untuk pasaran tempatan.

"Muzik tak perlu ada sempadan dan tidak kira apa-apa bahasa sekali pun. Malaysia ada pelbagai bahasa dan bahasa Melayu penyatu kita. Jadi saya merancang untuk muncul dengan album berbahasa Melayu terlebih dulu," ujarnya.

Lebar sayap

Ungkap Suki, dia kini sedang dalam rangka proses menyiapkan album keduanya yang mengandungi lapan buah lagu termasuk lagu hit Terlalu Mencintaimu. Jika tiada aral, album tersebut akan memasuki pasaran pada pertengahan tahun 2013.

SUKI akan menamatkan zaman solonya pada usia 22 tahun bersama kekasihnya, Jeremy Chong. Mereka akan berkahwin pada 12 Disember ini.

Sebenarnya, penyanyi kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu baru selesai merakamkan single terbaharu berjudul Untuk Kamu yang dicipta oleh komposer Indonesia, Irang Arkad dan Ering Arkad.

Memilih untuk berkolaborasi dengan pemuzik dari Indonesia, kata Suki ia memberi peluang kepadanya untuk bereksperimentasi. Dalam masa yang sama, dia turut mengintai peluang untuk menembusi industri muzik di sana.

"Kalau ada rezeki saya mahu mencuba nasib di sana. Semua orang sedar bahawa industri muzik di sana lebih besar dan sudah pasti memberikan pengalaman baharu bagi saya jika dapat menembusi pasaran Indonesia," ujar Suki penuh harapan.

Suki mengakui dia seorang penyanyi yang cerewet berhubung pemilihan lagu kerana baginya biar mengambil masa yang panjang, asalkan hasilnya memuaskan hati.

Katanya: "Saya pentingkan kualiti. Kalau boleh saya mahu semua lagu yang saya rakamkan orang suka. Muzik sudah menjalani fasa revolusi dan pendengar sekarang sudah bijak membuat pilihan. Muzik juga melibatkan perkongsian dan kerana itulah saya mengharapkan agar orang luar menerima muzik saya."

Gagal mencorakkan perjalanan kerjayanya dengan berkesan selepas menjuarai 0IAM pada tahun 2006, Suki menghela nafas lega setelah memenangi kes tuntutan saman terhadap syarikat pengurusannya, Galaxy Music Sdn. Bhd. bulan Ogos lepas.

Menerusi tuntutannya, Suki mencari keadilan di Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan syarikat pengurusan Galaxy Music supaya membatalkan perjanjian yang ditandatanganinya dengan mereka.

Dia juga memohon supaya dipulangkan semula wang berjumlah RM367,575.17 yang sudah pun dibayar kepada Galaxy Music selepas dijanjikan bahawa syarikat tersebut mampu untuk merakam, menerbit, memasar, mempromosi dan mengedarkan sebuah album antarabangsa berbahasa Cina di Taiwan, China dan Hong Kong untuknya.

Galaxy Music merakamkan sebuah album Mandarin berjudul, Ladies' Night, tetapi selepas dipasarkan di Malaysia pada 2009, album itu tidak dipasarkan di Taiwan, China atau Hong Kong seperti yang dijanjikan. Wang itu adalah sebahagian daripada hadiah yang diterimanya selepas menjuarai OIAM.

SUKI bercita-cita untuk menembusi pasaran muzik Indonesia.

Bangkit daripada kekecewaan tersebut, Suki menjelaskan dia bakal memulakan kariernya di Hong Kong bermula pada tahun depan.

Ujar Suki, dia telah menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman Skyco Asia Ltd. dan bakal mengeluarkan sebuah album berbahasa Mandarin untuk pasaran Hong Kong, China dan Taiwan.

Kahwin

Pertama kali membuka mulut berkongsi cerita mengenai hubungannya dengan Pengarah A&R (Artist & Repertoire) syarikat rakaman Infl8dreams, Jeremy Chong, keceriaan jelas terpancar pada wajah Suki.

"Kami akan melangsungkan perkahwinan pada tarikh 12.12.12 (12 Disember 2012), sehari selepas sambutan hari ulang tahun saya. Majlis tertutup sebelah lelaki akan diadakan di Pulau Pinang, berkonsepkan perkahwinan dalam taman serta di atas kapal Star Cruise," dedah Suki.

Perkenalannya dengan Jeremy bermula sejak empat tahun lalu dan menjadi lebih rapat setahun kemudian. Kata Suki, Jeremy menepati kriteria lelaki idamannya dan mereka memahami antara satu sama lain.

"Dia (Jeremy) selalu bersama saya termasuk berulang-alik dari Malaysia ke Taiwan dan Hong Kong sebelum ini. Saya rasa selamat apabila bersamanya. Dia juga tidak pernah mengongkong saya.

"Kami tidak berselindung antara satu sama lain. Dia seorang pendengar yang setia, malah memahami kerjaya saya sebagai seorang penyanyi. Dia sentiasa mahukan yang terbaik buat saya dan kami saling mempercayai," katanya memuji Jeremy.

Bersedia untuk bergelar seorang isteri pada usia yang masih muda, kata Suki tiada apa yang berubah melainkan status dan limpahan kasih sayang daripada bakal suaminya.

"Soal anak, kami belum terfikir lagi. Tunggulah dua atau tiga tahun sebab buat masa sekarang kami mahu stabilkan kewangan dan kehidupan berkeluarga terlebih dulu," ujar Suki yang tidak melihat perkahwinan sebagai penentu jatuh bangun kerjayanya.


Berita Dipetik dari Kosmo!
Bertarikh 05/12/2012



Suara

Suara

Suara
Suara