Current song:

Kenapa Hina Saya Sebegini

TIDAK mahu artis veteran diperlaku
buruk oleh industri.
"INI adalah tragedi besar dalam hidup saya," demikian perlahan-lahan suaranya melantun, meluahkan isi hati yang berselirat dengan rasa terkilan. Kemudian dia menambah lagi "Saya rasa maruah saya dipijak-pijak. Saya dihina seolah-olah saya tidak mempunyai harga diri."

Uji Rashid melahirkan suara hatinya secara jujur dan berterus terang mengenai insiden 'disingkirkan' daripada menyertai Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL) pada saat-saat akhir, Ahad lalu. Ini adalah penjelasan pertama penyanyi wanita paling popular pada dekad 70-an dan 80-an ini kepada pihak media.

"Semua yang diperkatakan adalah benar. Memang benar, team Anugerah Juara Lagu 'menyingkirkan' saya, tiga hari sebelum majlis berlangsung. Sehingga hari ini saya sangat terkilan kerana cara mereka 'menyingkirkan' saya itu sangat tidak profesional, agak kurang beradab," demikian satu demi satu rasa terkilan itu diterjemahkan kepada Hits.

AJL ke-27 telah berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada Ahad lalu, sekali gus memilih lagu Terukir Di Bintang ciptaan Yunalis Zarai (Yuna) sebagai juara.

Penyanyi Semakin Hari Semakin Sayang ini pada awalnya dipilih sendiri oleh Yuna untuk menyampaikan lagu itu di AJL ke-27, tetapi pada saat-saat akhir tempatnya digantikan oleh Aizat Amdan atas saranan penganjur.

Pihak penganjur hanya memberikan alasan, Uji berhadapan dengan masalah kesihatan dan tidak mampu meneruskan tanggungjawab tersebut, meskipun empunya diri yakin mampu menggalasnya dengan baik dan sempurna.

Pertemuan dengan Yuna

Menurut Uji, awal Disember 2012, dia dihubungi sendiri oleh Yuna, meminta untuk mengadakan pertemuan antara mereka.

Pada awalnya, dia sendiri tidak tahu untuk apa pertemuan itu mahu diadakan.

"Kami bertemu di Restoran Saloma, Jalan Ampang dan Yuna turut ditemani ibu serta pengurusnya.

"Saya begitu terkejut apabila Yuna memberitahu sangat meminati saya, seluruh keluarganya meminati Uji Rashid. Memanglah rasa terharu kerana bintang popular seperti Yuna menghargai kami, artis-artis lama.

"Dan saya bertambah terkejut apabila Yuna memberitahu, dia meminta saya untuk menyanyikan lagu popularnya Terukir Di Bintang di final Anugerah Juara Lagu," beritahunya.

Pada awalnya, Uji tidak pantas menyatakan persetujuan. Dia memilih untuk memberikan pelbagai alasan kepada Yuna, malah mencadangkan supaya menggunakan khidmat artis lain untuk AJL.

Dia sendiri keliru sekiranya tidak mampu menyampaikan lagu seorang artis muda yang digilai pada masa ini dengan baik, namanya akan tercalar teruk. Reputasinya jadi pertaruhan.

"Bagaimanapun Yuna tetap mengharapkan saya menyampaikan lagu itu kerana katanya, tona suara kami banyak persamaan.

"Sebelum Yuna berlepas ke Amerika Syarikat, dia sekali lagi meminta saya untuk membantunya dan dalam keadaan antara 'mahu' dan 'tidak' itu, saya menerima tanggungjawab itu," katanya.

Menurut Uji, awalnya dia keberatan untuk menerima tawaran Yuna kerana memikirkan banyak perkara perlu diberi perhatian.

Meskipun Terukir Di Bintang adalah sebuah lagu popular di mata umum, bagi dirinya, ia terlalu asing kerana tidak pernah mendendangkan sebelum ini.

"Saya tidak mahu merosakkan nama Yuna, juga nama saya sebagai penyanyi yang sudah 38 tahun menyanyi. Sebab itu saya berfikir panjang untuk menerima tawaran Yuna pada awalnya.

"Bagaimanapun menghormati seorang artis muda yang berbakat besar seperti Yuna, menghargai minat yang ditunjukkan oleh ahli keluarga Yuna terutamanya ibunya sendiri, saya akhirnya menerima dan memulakan sesi latihan," katanya.

Setelah menyatakan persetujuan, di situ bermulalah segala permasalahan. Menurut Uji, membawakan lagu yang sedang popular hari ini bukan sesuatu yang mudah dan dia mula dihimpit tekanan.

Populariti lagu itu sendiri yang sudah diberi bayangan 'bakal menjadi juara' membuatkan Uji tertekan memikirkan apakah dia mampu memberikan yang terbaik, sebagaimana sepatutnya?

Bagaimanapun Yuna telah meyakinkan dirinya dan berkata "Kak Uji, Yuna tak kisah lagu ini menang atau tidak. Cukuplah ia sekadar ada dalam AJL ke-27 itu saja. Kalau tak menang pun, tak kisah," begitu Yuna memberitahu Uji sebelum berlepas ke Los Angeles, Amerika Syarikat bagi merakamkan album baharu bersama komposer terkenal David Foster.

Empat hari masuk hospital

Tekanan menghadapi AJL tidak berakhir di situ. Ekoran rasa tertekan juga, Uji akhirnya dimasukkan ke hospital di Ampang, pada 27 Disember sehingga 31 Disember 2012 dan berada dalam rawatan pakar.

"Bagaimanapun saya akhirnya meminta pelepasan daripada doktor untuk keluar pada 31 Disember kerana masa sudah semakin suntuk, saya kena hadiri sesi latihan. Saya sudah berjanji dan menyatakan persetujuan, saya tidak mahu rosakkan harapan orang," beritahunya.

Sebaik sahaja keluar hospital, pada 1 Januari 2013, Uji hanya berehat di rumah dan hadir ke sesi latihan AJL pada 2 Januari.

"Pada sesi ini, saya menjalani latihan, tetapi saya akui, baru satu hari keluar hospital, sudah tentu keadaan saya tidak begitu baik.

"Banyak kelemahan pada suara saya ketika itu kerana saya tidak mahu memaksa sangat untuk ia keluar. Saya mahu all out pada malam AJL nanti, sebab itu saya kena 'simpan' banyak tenaga dan suara," katanya.

Malangnya, pada sesi latihan itu, Uji telah diadili sebagai tidak fit untuk menjalankan tanggungjawab sebagai salah seorang penyanyi di AJL.

Pada 3 Disember, Uji menerima panggilan telefon daripada Yuna dan menasihatinya supaya jangan terlalu stres dengan tanggungjawab berkenaan.

"Yuna masih sempat meminta maaf sebab tidak dapat bersama-sama dalam keadaan itu. Dan dia sekali lagi memberitahu saya dia masih mahukan saya menyanyikan lagu itu di AJL.

"Bagaimanapun pada sebelah malamnya, seseorang daripada penerbitan AJL memanggil saya dan memberitahu begini: Uji, ini keputusan kami, awak dikeluarkan dari AJL ini."

Dan bayangkan, kata-kata itu diucapkan di depan ramai orang sementara Uji sendiri dalam keadaan agak terpinga-pinga. Tanpa sebab dan alasan yang kukuh, Uji memberitahu dia dimalukan sebegitu sekali, sedangkan kehadirannya dalam AJL ke-27 awalnya atas permintaan, bukan dirinya tersua-sua.

Rasa terkilan, rasa terhina membuatkan Uji selama beberapa jam menangis sedih di satu sudut Stadium Putra. "Saya sudah menjalani latihan. Sudah pergi buat ukuran baju dengan Hatta Dolmat dan sudah sekian lama mencari idea untuk persembahan, tetapi dua hari sebelum acara, disingkirkan.

"Anda boleh bayangkan bagaimana perasaan saya? Apakah begini sebuah acara anugerah yang dianggap berprestij dalam negara melayan artis veteran seperti saya?" tanya Uji.


Sumber Dari Utusan
Disiarkan Pada : 12/01/2013

Suara

Suara

Suara
Suara