Current song:

Terukir Di Bintang Layak Menang

Aizat sewaktu AJL 27 dengan lagu Terukir Di Bintang
BIASANYA penganjuran sesebuah acara anugerah yang besar semememangnya tidak pernah sunyi daripada dilanda dengan pelbagai kontroversi. Itu yang dilalui ketika penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27).

Kontroversi bermula apabila Yuna yang sepatutnya menyanyikan lagu ciptaannya sendiri di pentas AJL 27 terpaksa menarik diri pada saat akhir kerana mempunyai komitmen lain di Amerika Syarikat.

Nama penyanyi veteran Uji Rashid lantas disebut-sebut sebagai pengganti menyanyikan lagu Terukir Di Bintang, tetapi akhirnya Aizat telah diberi tanggungjawab membawakan lagu tersebut.

Biarpun pertukaran penyanyi untuk lagu itu dikecam segelintir pihak, kemenangan telah berpihak kepada Aizat apabila Terukir Di Bintang yang dipersembahkannya itu dinobatkan sebagai juara.

Pada sidang akhbar yang berlangsung selepas berakhirnya acara tersebut, Azmeer selaku ketua juri menyatakan kehebatan sesebuah lagu itu tidak boleh dinafikan, meskipun tidak dinyanyikan oleh penyanyi asal.

"Saya yakin dan percaya kontroversi yang berlaku sememangnya langsung tidak mempengaruhi para juri dan kami sudah sepakat bahawa lagu Terukir Di Bintang layak dinobatkan sebagai juara.

"Mengenai persembahan Aizat pula, saya lihat dia telah membawakan lagu ini dengan caranya tersendiri dan tidak terlalu terikut-ikut dengan gaya penyampaian Yuna," jelasnya sambil menafikan kemenangan lagu tersebut semata-mata mahu menutup kontroversi yang telah timbul.

Ketika ditanya sama ada lagu tersebut akan tetap menang sekiranya dinyanyikan oleh Uji Rashid, Azmeer menjelaskan kekuatan sesuatu lagu tidak terletak kepada penyanyi keseluruhan.

AARON Aziz membuat penampilan khas dalam persembahan Hafiz dan Aidira untuk lagu, Ombak Rindu.

Sebaliknya, persembahan penyanyi hanya merangkumi 10 peratus daripada penilaian dan selebihnya pemilihan lagu terbaik dibuat berdasarkan kepada melodi, lirik dan susunan muzik.

"Tidak kira siapa sahaja yang menyanyikan lagu ini sama ada Yuna, Aizat atau Uji Rashid, sekiranya masing-masing membuat persembahan dengan baik peluang untuk menang tetap ada," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar yang turut berada semasa sidang akhbar tersebut berkata, pihak TV3 tidak mencampuri sebarang keputusan terhadap pemilihan penyanyi.

Beliau berkata, pemilihan penyanyi yang menggantikan tempat Yuna telah ditentukan oleh pihak pengurusan penyanyi itu dan pihak TV3 perlu menghormati segala keputusan yang dibuat.

"Kami terpaksa akur apabila Yuna ada komitmen lain yang menghalangnya membuat persembahan di pentas AJL 27, tetapi dia sendiri yang telah memilih Aizat untuk menggantikan tempatnya.

"Namun begitu, saya melihat Yuna telah membuat pilihan yang tepat apabila Aizat mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan sehingga lagu ciptaannya itu mengatasi 11 lagu yang lain," jelasnya.

Dengan kemenangan tersebut, lagu Terukir Di Bintang berjaya membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM35,000, manakala lagu Idola yang dinyanyian oleh Azlan & The Typewriter membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000 setelah muncul naib juara.

Hafiz yang muncul sebagai pemenang AJL pada tahun lalu menerusi lagu Awan Nano sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan lagu nyanyiannya Ku Akui hasil ciptaan Ajai.

Bagaimanapun, penyanyi tersebut terus kekal memenangi kategori Vokal Terbaik buat dua tahun berturut-turut. Black dan RJ pula menang kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Teman Pengganti. Pemenang kedua-dua kategori itu membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.

Selain Azmeer, antara barisan juri yang dilantik mengadili lagu-lagu di pentas AJL 27 seperti Aubrey Suwito, Helen Yap, Eddie Marzuki, Achik, Edrie Hashim, Ramli Sarip, Yasin Sulaiman, Ad Samad dan Hetty Koes Endang.

52 jam

AKSI hebat Amy (kiri) dan Hazama dalam persembahan lagu kolaborasi mereka, Simetri.

Biarpun sudah berpengalaman luas dalam bidang nyanyian, namun menjadi pengganti pada saat-saat akhir untuk sebuah pertandingan yang besar seperti AJL 27 pastinya memberikan pengalaman baharu buat Aizat.

Ketika ditemui pada sidang akhbar tersebut, Aizat mengakui agak terkejut apabila diminta menggantikan Yuna, tetapi tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila lagu itu telah muncul sebagai pemenang.

"Saya telah mendapat panggilan untuk menggantikan tempat Yuna menyanyikan lagu Terukir Di Bintang kira-kira 52 jam sebelum AJL 27 berlangsung dan kemenangan ini pastinya di luar jangkaan.

"Biarpun masa yang saya ada untuk membuat persiapan agak singkat, tetapi sebagai seorang kawan saya perlu bantu Yuna. Itu yang menyebabkan saya bersetuju menerima tanggungjawab tersebut," jelasnya.

Menyedari dirinya tidak mempunyai masa yang banyak, Aizat menyatakan, dia hanya berserah kepada Allah semasa membuat persembahan. Namun, dia bersyukur kerana mendapat bantuan daripada rakan-rakan sehingga semuanya berjalan lancar.

Berkenaan dengan kontroversi tentang pemilihan penyanyi untuk lagu berkenaan, Aizat berkata, dia tahu mengenai perkara tersebut dan berasa sedikit tertekan.

"Secara jujurnya saya memang simpati dengan apa yang berlaku terhadap Uji Rashid memandangkan dia yang dipilih menggantikan Yuna, tetapi keputusan telah bertukar pada saat-saat akhir.

"Sebagai seorang penyanyi veteran yang telah lama mewarnai industri nyanyian, beliau sewajarnya dihormati oleh semua pihak. Kalau diikutkan saya mahu menyanyi bersamanya di pentas AJL 27," luahnya.

Dengan kemenangan tersebut, Aizat juga tidak menolak kemungkinan untuk menyanyikan lagu tersebut dalam mana-mana persembahan nyanyian sekiranya ada permintaan.

PERSEMBAHAN Azlan & The Typewriter menerusi lagu Idola memacu mereka untuk bergelar naib juara AJL 27.

"Saya berharap agar dapat berkolaborasi dengan Yuna seperti memintanya menciptakan lagu untuk saya. Sebelum ini perkara tersebut pernah kami bincangkan bersama, tetapi saya faham dia masih lagi sibuk serta jadualnya yang padat," ujarnya.

Sumber Dari Kosmo!
Disiarkan Pada : 08/01/2013
Suara

Suara

Suara
Suara